Kenalilah Sultan Kelantan Secara Rasmi Dipilih Yang Di-Pertuan Agong Ke-15
KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V secara rasmi dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 untuk tempoh lima tahun bermula pada 13 Disember ini.
Manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh sama. Pemilihan dilakukan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242, di Istana Negara di sini hari ini.
Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang disandang Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkuat kuasa sejak 13 Disember 2011, akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember ini.
Berdasarkan kepada sistem penggiliran yang ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja sendiri, Sultan Kelantan memang berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Sebelum ini, Sultan Kelantan terdahulu, Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim, merupakan Yang di-Pertuan Agong keenam dari 21 September 1975 sehingga mangkat pada 29 Mac 1979.
Baginda ketika itu mengambil alih jawatan daripada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim dan setelah mangkat, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pula menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya.
Sultan Muhammad V yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan, merupakan seorang raja berjiwa rakyat malah dikatakan amat dekat di hati penduduk negeri Pantai Timur ini.
Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Faris Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.
Sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' ketika bertemu dengan rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli.
Baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktkober 1985 dilihat lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di negeri ini sebagai 'baju gumbang', serta berkain pelikat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat baginda.
Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 12 Disember 2011, turut mencetuskan idea Program Walkathon D'Raja Kelantan sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.
Menerusi program itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan kerabat diraja yang lain sejauh 10 kilometer di sekitar bandar Kota Bharu.
Sepanjang laluan, terdapat beberapa 'checkpoint' yang mempersembahkan pelbagai aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, paluan kertuk dan rebana ubi.
Pada 2011, program itu diiktiraf olehMalaysia Book Of Records sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun berkenaan selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta.
Program amal anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi itu bagi mendekatkan baginda dengan rakyat, menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan pelancongan Kelantan.
Baginda turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam di negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap Ramadan sejak 2011.
Program tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.
Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan yang kurang bernasib baik.
Malah, kedua-dua program tersebut -Walkathon D'Raja Kelantan dan Qiam With Me - dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.
Di sebalik populariti sebagai Sultan Kelantan yang sering mendapat liputan luas pengamal media di negeri itu, baginda kerap kali dalam diam tanpa pengetahuan media, berkenan jengah kehidupan penduduk yang memerlukan pembelaan.
Malah, pernah tersebar sekeping gambar di media sosial baginda membuat rondaan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014.
Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.
Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Sultan Muhammad V pada masa lapang gemar membaca buku, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak dan menembak.
Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra, 42; Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38; dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 32.
Post a Comment