Inilah Posisi Duduk Yang Dimurkai Allah


Agama Islam mengatur seluruh aspek kehidupan termasuk urusan duduk. Untuk yang satu ini, memang kurang mendapat perhatian serius. Sebahagian berfikir, bagaimana boleh duduk saja sampai diatur dalam agama.

Namun begitulah ajaran Islam, setiap kehidupan bernafas dengan peraturan yang sudah ditetapkan. Peraturan yang dibuat, bukan bermaksud memberatkan, namun justeru memberi kesan positif baik dari segi sosial dan kesihatan.

Ternyata cara duduk juga diatur sedemikian rupa. Melalui Rasulullah SAW, Allah mengkhabarkan Dia begitu murka dengan hamba-hamba-Nya yang duduk seperti ini. Sebagai muslim, sudah selayaknya kita menjauhi apa yang diperintahkan Rasul, termasuk mengelakkan duduk seperti berikut:

Ternyata duduk yang dimurkai Allah adalah dengan meletakkan tangan kiri di belakang dan dijadikan sandaran. Bukankah ini sering kita lakukan sedar tak sedar? Terutama ketika duduk di lantai ketika menghadiri jamuan, saat bersantai bersama keluarga atau semasa berada di dalam masjid.

Hadis Riwayat Abu Daud dari Syirrid bin Suwaid radhiyallahu 'anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Rasulullah pernah melintas di hadapanku sedang aku duduk seperti ini, yaitu bersandar pada tangan kiriku yang aku letakkan di belakang. Lalu baginda Nabi bersabda, "Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai?" (HR. Abu Daud).

Syaikh 'Abdul Al' Abbad mengatakan bahawa duduk seperti ini hukumnya haram, walaupun sebahagian ulama lain mengatakan makruh.

"Makruh dapat dimaknakan juga haram. Dan kadang makruh juga bermakna makruh tanzih (tidak sampai haram). Akan tetapi dalam hadis disifati duduk semacam ini adalah duduk orang yang dimurkai, maka ini sudah jelas menunjukkan haramnya. "(Syarh Sunan Abi Daud, 28: 49)

Sementara itu Syaikh Muhammad bin Sholih Al 'Utsaimin mengatakan, duduk yang dimurkai sebagaimana yang disifati Nabi dengan menjadikan tangan kiri sebagai penumpu tubuh. Namun jika meletakkan kedua-dua tangan sebagai tumpuan, atau tangan kanan sahaja menjadi tumpuan, maka hal itu tidak mengapa.

Lantas jika ada yang bertanya, di mana logiknya? Sebahagian mungkin mengatakan, ini tidak masuk akal dan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan. Allah dan Rasulullah SAW sudah memerintahkan, maka ini sudah cukup bagi seorang muslim.

Waallahualam...

No comments

Powered by Blogger.