Inilah Manusia Pertama Yang Merasakan Panasnya Api Neraka Jahanam


TAHUKAH kita siapa orang yang pertama merasakan panasnya api neraka jahanam di hari kiamat nanti? Mereka adalah orang-orang yang dermawan, rajin menuntut ilmu dan melakukan ibadah lain, akan tetapi tidak diniatkan semata-mata kerana Allah.

Sebagai seorang muslim sangat penting meluruskan niat ketika melakukan kebaikan. Sedikit saja hati kita condong terhadap yang lain, maka kebaikan itu tidak bermakna di hari kiamat nanti.

Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa ia pernah mendengar Rasulullah Saw bersabda, '' Manusia yang pertama diadili semua pada hari kiamat nanti adalah orang yang mati di medan jihad. Orang itu didatangkan di hadapan Allah. Kemudian, ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya. Dan, ia mengakuinya.

Allah bertanya kepadanya, '' Apa yang telah engkau lakukan di dunia? '' Dia menjawab, '' Aku telah berperang membela agama-Mu. '' Lalu, Allah berkata,

'' Engkau berbohong. Engkau berperang agar orang-orang menyebutmu seorang yang berani. '' Kemudian, Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di mahkamah-Nya. Akhirnya, orang itu dimasukkan ke neraka.

Kemudian, seorang penuntut ilmu sekaligus rajin membaca Al Quran, dihadapkan kepada Allah. Lalu, ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya. Dan, ia mengakuinya. Allah bertanya, '' Apa yang telah engkau lakukan di dunia? '' Dia menjawab, '' Aku menuntut ilmu, mengamalkannya dan aku membaca Al Quran dengan mengharap redho-Mu. ''

Allah berkata kepadanya, '' Engkau berbohong. Engkau mencari ilmu supaya orang menyebut engkau sebagai seorang alim. Dan, engkau membaca Al Quran agar orang lain menyebutmu rajin membaca Al Quran. '' Kemudian, Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di mahkamah-Nya. Akhirnya, orang itu dimasukkan ke neraka.

Seterusnya, seorang yang kaya raya dan terkenal dermawan, dihadapkan kepada Allah. Lalu, ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya. Dan, ia mengakuinya. Allah bertanya, '' Apa yang telah engkau lakukan di dunia? '' Dia menjawab, '' Semua harta yang aku miliki tidak aku sukai, kecuali aku sedekahkan kerana-Mu. ''

Lalu, Allah berkata, '' Engkau berbohong. Engkau melakukan itu agar orang-orang menyebut engkau sebagai dermawan dan murah hati. '' Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di mahkamah-Nya. Akhirnya, orang itu dimasukkan ke neraka.

Abu Hurairah berkata, '' Kemudian, Rasulullah menepuk pahaku dan berkata, '' Wahai Abu Hurairah, mereka adalah manusia pertama yang merasakan panasnya api neraka Jahanam pada hari kiamat nanti. '' (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, betapa ruginya seseorang yang berbuat kebaikan akan tetapi fokusnya bukan untuk Allah. Maka sudah tentu niat dan tujuan kita haruslah ditujukan untuk Allah semata.

Sumber: Islampos

3 comments:

Powered by Blogger.