Brunei Cipta Rehal Lipat Jadi Kotak Simpan Al-Quran


BANDAR SERI BEGAWAN - Seorang penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD) bakal mendaftar hak paten dan pemasaran rehal atau papan bersilang alas Al-Quran yang boleh dijadikan tempat.

Prototaip rehal rekaan Shathirah Dr. Haji Serbini, pelajar tahun ketiga pengajian Seni dan Teknologi Kreatif itu dipertontonkan kepada umum pada pameran sempena Festival Konvokesyen UBD 2016 di sini semalam.

Menurut akhbar tempatan, The Brunei Times, pensyarah penuntut tersebut, Prof. Madya Dr. Rui Oliveira Lopes dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial menyatakan bahawa rehal individu berkenaan mampu berfungsi dua dalam satu.

"Apabila dibuka, ia menjadi tempat alas Al-Quran untuk dibaca namun apabila dilipat, rehal ini turut menyimpan kitab suci ini dengan selamat jika tidak digunakan. Dia mahu rekaan inovatif dan ada nilai pasaran, "katanya.

Rui menambah, apabila Shathirah mula mengemukakan idea itu, pelajar tersebut memang mahu mencipta rehal dengan dua kegunaan secara serentak, berbeza rehal sedia ada hanya berfungsi sebagai tempat alas kitab.

Prototaip produk berkenaan dihasilkan daripada kayu jenis ringan dan bahan material kunci yang memang mudah didapati di pasaran sekali gus menjadikan harganya lebih berpatutan untuk dibeli setiap umat Islam.

"Dia mahu membuat rehal dengan menggunakan bahan ringan yang mudah diukir dan dipahat serta memaparkan corak rekaan indah berasaskan pola bentuk tradisional masyarakat tempatan di Brunei," jelas Rui lagi.

Pensyarah berkenaan menambah, reka bentuk rehal itu asalnya digubah semula daripada rehal tradisional masyarakat Melayu tetapi disesuaikan semula agar menjadi produk yang bersifat inovatif dan lebih moden.

"Pihak UBD sedang berusaha untuk senarai dan mempaten rekaan Shathirah sebagai harta intelektual serta mencari pelabur yang berminat mengkomersialkan produk ini ke pasaran," kata Rui.

No comments

Powered by Blogger.