Program Drama dan Telemovie Sempena Raya Aidiladha (2016)
Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai Hari Raya Haji, kerana sebahagian daripada umat Islam akan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah. Aidiladha juga merupakan perayaan yang istimewa bagi seluruh umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah S.W.T. Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba pada 12 September 2016, TV3 dan TV9 menyediakan beberapa buah rancangan menarik buat tontonan seisi keluarga.
TV3
Haji Tak Mabrur (10 September, 12.02 tengahari)
Haji Tak Mabrur lakonan Ebby Yus, Hanif, Hairi Safwan, Fendi Seman, Nur Risteena, dan Ayda Jebat mengisahkan seorang sarjana muda yang kaya bernama Bustaman dan dikenali dengan sikapnya yang pemurah tetapi malas bersolat. Dia dan dua orang sahabatnya, Husaini dan Farid, bercadang untuk pergi menunaikan haji tetapi mendapati bahawa giliran mereka hanya akan tiba pada tahun 2020. Oleh itu, Bustaman mencari sebuah agensi swasta untuk menunaikan haji dalam masa terdekat. Berjayakah rancangannya untuk menunaikan haji itu?
Malaysia Hari Ini Istimewa Aidiladha (12 September, 7.00 pagi)
Malaysia Hari Ini Istimewa Aidiladha membawa penonton bersama-sama mengimarahkan masjid melalui siaran langsung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Falah, Kampung Idaman, Klang. MHI menampilkan perantara Ally Iskandar, Ahmad Fedtri Yahya, Za’im Helmi Zaini, Saiful Nizam Ismail, Nurul Fariha Onn, Nurul Syuhada, Nadia Annuar, Izwan Azir Saleh dan Syazwani Diyana.
Wanita Hari Ini Istimewa Aidiladha (12 September, 12.02 tengahari)
Wanita Hari Ini Istimewa Aidiladha meraikan sambutan ibadah haji dan korban bersama bekas personaliti TV3, Mazidul Akmal Sidek dan isteri, Khairul Fazlin Kamarudin untuk berkongsi kisah pengorbanan beliau yang sentiasa ada bersama suaminya tidak kira ketika Mazidul berada di puncak kejayaan sehinggalah terlantar diserang sakit angin ahmar. Sebuah pengorbanan yang hanya dibayar dengan cinta dan kasih sayang. PENGACARA: Fiza Sabjahan. Hazrena Kassim
Mak Cun Pi New York (12 September, 2.00 petang)
Jangan lupa untuk menonton gelagat lucu Eirma Fatima sebagai Mak Cun yang telah ke New York untuk berjumpa dengan anaknya Atun selepas mendapat panggilan yang dia akan berkahwin di New York. Atun merahsiakan siapa bakal suaminya daripada Mak Cun. Mak Cun tergesa-gesa ke New York kerana bimbang anaknya akan berkahwin dengan “mat saleh” dan tidak mengikut ajaran Islam. Dalam keadaan huru hara, Mak Cun tetap membawa sejumlah produk keluaran kampung dan produknya untuk dipasarkan di sana. Mak Cun cuba selidik siapa bakal suami Atun, hingga menyebabkan pertelingkahan antara mereka. Mak Cun bertindak untuk keluar dari rumah tersebut dan berfikir untuk menyewa hotel di sekitar Bandar New York. Tanpa Mak Cun sedari, bayaran penginapan telah menjangkau lebih daripada wang yang dibawa oleh Mak Cun hingga menyebabkan dia ambil keputusan untuk menjual produknya di sana untuk membayar kos hotel. Mak Cun terserempak dengan lelaki berkulit hitam yang telah banyak membantunya untuk kembali kepada Atun. Mak Cun Pi New York turut dilakonkan oleh Balkisyh Semundur Khan, Nora Danish, Dato Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida dan Saharul Ridzwan.
Ohhh... Harammmm (12 September, 5.30 petang)
Saksikan lakonan Aqasha, Sharifah Amani, Jalil Hamid, Hamidah Wahab, Mak Mah dan Rita Rudaini dalam telefilem “Ohhh… Harammmm” yang mengisahkan Rahimi (Aqasha) yang baru sahaja menamatkan pengajian Usuluddin di Isketambola setelah lima tahun tidak pulang ke tanahair. Rahimi dahulunya seorang yang periang dan lembut, kini mejadi semakin tegas dan warak yang tidak kena dengan tempat dan masa. Perubahan Rahimi membuatkan adik-beradik dan sesisi keluarga tidak senang hati. Kewarakan Rahimi itu membuatkan seorang janda muda (lakonan Rita Rudaini) berusaha memikat Rahimi untuk menggodanya. Berjayakah Rahimi menepis godaan itu dan bagaimana pula keluarga Rahimi menyesuaikan diri mereka dengan perubahan drastiknya itu?
Yang Terakhir Untukku (12 September, 10.00 malam)
Sebuah lagi telefilem terbaharu iaitu Yang Terakhir Untukku lakonan Izara Aisyah, Sharnaaz Ahmad, Aleza Shadan, Dato’ Eizlan Yusof, Puteri Aisyah mengisahkan seorang perompak bernama Jay telah membuat perjanjian dengan adiknya, Min, bahawa rompakan yang bakal dilakukan adalah rompakan yang terakhir sebelum mereka memulakan hidup baru. Untuk mendapatkan fail yang mengandungi kontrak yang diperlukan bosnya, Jay telah menyamar dan bekerja sebagai tukang kebun di rumah pasangan orang kaya. Jay mula berkawan dengan anak tuan rumah tersebut yang bernama Dhia. Namun pada suatu hari, Jay tidak menyangka yang Dhia sedang berada dalam rumah dan menyedari perbuatannya yang sedang memecah masuk bilik ayahnya. Dhia berasa sangat kecewa dengan tindakan Jay selepas dia ditangkap oleh pihak polis. Adakah persahabatan mereka masih akan kekal selepas apa yang telah berlaku?
TV9
Layar 9: Salam Buat Kekasih (8 September, 9.30 malam)
Saksikan lakonan Datuk Seri Aziz Singah, Aznah Hamid, Aedy Ashraff, Erry Putera, dan Ayu Mayumi dalam Salam Buat Kekasih. Siah dan Husin mempunyai seorang anak Sindrom Down bernama Muis. Mereka berhasrat untuk mengerjakan haji tetapi setelah pemohonan mereka berjaya, timbul pula perasaan risau mengenai siapa yang akan menjaga Muis ketika mereka tiada. Adakah Siah dan Husin tetap akan mengerjakan haji mereka? Siapakah yang akan menjaga Muis?
Nasi Lemak Kopi O Istimewa Aidiladha (11 September, 8.00 pagi)
Ikuti Addaem Chandran dan Raisyyah Rania Yeap sebagai tetamu khas yang akan membincangkan topik ”Pengorbanan Mualaf” dalam Nasi Lemak Kopi O Istimewa Aidiladha.
Selain itu, episod kali ini juga akan memaparkan siaran lintas langsung dari Universiti Islam Antarabangsa ( UIA), Gombak bersempena dengan World #Quran Hour yang akan dilancarkan pada 9 Zulhijjah 1437 di Arafah, Arab Saudi dan akan disertai oleh seluruh dunia termasuk Malaysia.
Hajah Heathrow (11 September, 10.30 malam)
Pasti ramai yang merindui lakonan Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ogy. Saksikan lakonan beliau bersama Fadhil Dani, Kuna, Nazeera Sardi, Izara Aishah dan Hafidz Rosdi dalam telefilem baharu, Hajah Heathrow yang turut disiarkan di TV3 nanti. Berkisarkan Ramlan dan Juriah yang mendapat rezeki untuk menunaikan fardhu haji. Juriah mempunyai rasa untuk riak dan mempertikaikan jirannya, Datin Amnah yang hidup senang tetapi belum menunaikan haji. Dia tidak putus-putus menjaja usahanya mencari duit demi ke tanah suci. Malah Juriah juga merancang untuk membuat kenduri dengan hidangan seekor lembu. Ramlan menegur sikap isterinya tetapi Juriah menegakkan bahawa dia mahu menjadi contoh kepada penduduk sekampung yang lebih suka membeli emas dan saham daripada menabung di Tabung Haji. Suatu hari, Jasmin, anak mereka memberitahu bahawa dia mendapat kerja di Heathrow, London. Juriah mula teragak-agak kerana tarikh berangkat ke tanah suci ialah tarikh yang sama dengan penerbangan ke Heathrow. Ramlan terus mengingatkan Juriah mengenai usahanya selama ini mencari rezeki demi menunaikan haji yang lebih suci. Apakah pilihan Juriah?
Diskusi Raudhah: Terengganu (12 September, 8.35 pagi)
Diskusi Raudhah adalah program yang dirakam khas dari Karnival Raudhah Dihatiku Terengganu. Diskusi selama 1 jam ini membincangkan topik bertajuk “Bicara Tentang Kiamat....Kenapa Tidak?” yang memberikan mesej mengenai keperluan umat Islam untuk memahami tentang kedatangan hari kiamat dengan lebih lanjut. Perkara ini harus dibincangkan kerana pada akhir-akhir zaman ini, umat Islam kurang membincangkan topik hari kiamat dalam perbualan harian mahupun dalam sesi ceramah atau mimbar Jumaat. Saksikan Datuk Dr. Danial Zainal Abidin yang juga merupakan seorang doktor perubatan, pendakwah, penulis buku dan perunding motivasi dalam Diskusi Raudhah, di mana beliau telah menggunakan ketajaman analisisnya untuk melihat benarkah kiamat itu masih jauh atau pun sudah begitu hampir berdasarkan sandaran Al Quran, Hadis dan bukti Sains.
Malam Talilsyah Selawat: Kelantan (12 September, 4.00 petang)
Malam Tasliyah Selawat adalah program yang dirakam khas dari Karnival Raudhah Dihatiku Kelantan. Malam Tasliyah Selawat membincangkan topik "Cinta Agung"- iaitu kisah percintaan Rasulullah S.A.W dengan Siti Khadijah, bersama-sama Ustaz Roslan Mohamed sebagai panel dan dihoskan oleh Da'i Azam Alkankari. Porgram ini diselangi dengan persembahan selawat dari kumpulan The Muhibbains dan penyanyi baru Raqib Majid.
Skrin Di 9: Raya Tak Raya (12 September, 8.30 malam)
Fairuz merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang fesyen di kolejnya. Dia terkenal kerana pandai menjahit baju dengan cantik dan kemas. Ibu dan bapanya, Pak Saad dan Mak Kiah. amat bangga dengan anak mereka. Disebabkan terlalu teruja, Pak Saad dan Mak Kiah telah menerima tempahan dari seluruh kampung secara berlebih-lebihan. Deretan tempahan yang banyak membuatkan Fairuz terkejut dan tidak mampu untuk menyiapkan setiap tempahan sebelum raya tiba. Oleh kerana berasa cemas akibat tidak dapat menyiapkan semua tempahan baju, Pak Saad, Mak Kiah dan Fairuz telah pun melarikan diri. Adakah mereka akan menyiapkan segala tempahan baju sebelum Hari Raya? Marilah kita saksikan Ben Ali, Hamdan Senario, Rohaya DFKL, Aleeza Kasim, dan Faiz Tapaw dalam kesudahan telefilem “Raya Tak Raya”!
Isyarat Cinta (15 September, 9.32 malam)
Filem Isyarat Cinta lakonan Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar arahan Bade Hj. Azmi ini mengisahkan percintaan pasangan buta dan bisu. Cinta mula berputik selepas Iskandar, seorang jutawan yang sangat rendah diri dan pemalu telah memberanikan diri menyelamatkan Dhia dari satu kemalangan jalan raya sehingga membibitkan rasa cinta masing-masing. Hubungan mereka dijalinkan melalui orang tengah iaitu Ariel apabila segala luahan Iskandar yang cacat pendengaran itu disampaikan kepada Ariel untuk Dhia. Namun, Ariel sendiri telah jatuh hati dengan Dhia dan tidak sanggup untuk meneruskan tugasnya sebagai perantara cinta antara Iskandar dan Dhia. Siapakah yang akan menjadi pilihan hati Dhia?
Jangan lupa untuk menyaksikan barisan rancangan menarik yang telah disediakan khas buat penonton-penonton setia TV3 dan TV9 sempena Hari Raya Aidiladha ini!
Post a Comment