Amal Minum Air Masak, Rahsia Awet Muda Janet
MEMILIKI wajah yang awet muda meskipun usia sudah menjangkau 40-an. Pelakon dan model Janet Khoo, 43, berkongsi rahsianya.
Menerusi laman BH Online, Janet Khoo atau nama sebenarnya Janet Khoo Kheng Hoon mendedahkan bahawa rahsia awet mudanya adalah mengamalkan minum air masak.
“Seperti semua orang maklum, bersenam adalah wajib untuk mengekalkan kesihatan kita. Tetapi, menjaga pemakanan juga penting dan saya mengamalkan banyak minum air kosong,” katanya.
Tambah pelakon yang pernah membintangi filem Paloh ini, selain air masak, dia juga mengamalkan senaman dan pemakanan yang sihat.
Katanya lagi, pemikiran positif juga antara faktor seseorang memiliki kulit yang sihat dan awet muda.
“Jika berada dalam keadaan tertekan, fikiran kita bercelaru, sekali gus kulit wajah menjadi kusam.
“Sebab itu orang kata, sentiasa berfikiran positif. Apabila berfikiran sedemikian, kita akan kekal ceria, sekali gus seri wajah pun akan naik,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, kelibat Janet boleh dilihat menerusi drama bersiri Lara Aishah di samping Fasha Sandha di Astro Prima.
Selain berlakon, difahamkan Janet sibuk menguruskan perniagaannya, meskipun enggan mendedahkannya. – MYNEWSHUB.CC
Post a Comment