Aiyah, Rendang, Mamak Sudah Ada Dalam Kamus Oxford


LONDON - Aiyah, yok makan char kway teow di kopitiam - itulah antara perkataan-perkataan asing yang kini sudah dimasukkan secara rasmi dalam kamus terbaharu Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED).

Kata seru popular seperti 'aiyah' dan 'aiyoh' yang lazimnya digunakan dalam pertuturan harian di Singapura dan di rantau Asia tenggara untuk meluahkan rasa kecewa atau menyerah kalah, malah diiktiraf oleh OED dalam versinya yang dikemas kini mulai 12 September.

Kamus rujukan popular itu juga menyertakan 'Ah Beng' - perkataan yang biasa digunakan di Malaysia dan Singapura untuk menyifatkan pemuda-pemuda Cina yang riuh serta bergaya kampung - selain perkataan 'atas' yang digunakan untuk menyifatkan status sosial yang tinggi.

Perkataan 'ang pow' - bermaksud 'hong bao' dalam dialek Cina lain atau sampul merah yang diberikan semasa acara khas - juga disertakan dalam keluaran terkini OED, kamus terulung bahasa Inggeris yang mula diterbitkan Universiti Oxford di Britain sejak 1911.


Seperti versinya yang lalu, beberapa nama makanan asing juga dipaparkan secara ketara, antaranya 'char kway teow', 'rendang' dan 'nasi ayam' apabila ditambah pada perbendaharaan kata dalam kamus tersebut, menurut laporan agensi berita MediaCorp Singapura.

Perkataan-perkataan baharu yang disertakan termasuk sesetengahnya adalah hidangan cukup dikenali mereka yang tinggal di sekitar Asia Tenggara, seperti 'balut' iaitu sejenis makanan jalanan yang biasanya dijual secara meluas oleh penjaja di Filipina dan Indonesia.

Tidak ketinggalan ialah perkaraan 'mamak' dan 'kopitiam' yang masing-masing merujuk kepada panggilan untuk pengusaha restoran masakan India dan premis kedai kopi kaum Tionghua turut disertakan dalam entri edisi terbaharu kamus berkenaan.

Para sidang redaksi OED juga menambah perkataan 'bocconcini' - sejenis keju mozarella kecil bersaiz telur - sebagai perkataan bahasa Inggeris yang rasmi.

Watak Star Wars popular, Yoda, yang terkenal dengan nasihat-nasihatnya yang diberikan dengan tatabahasa Inggeris yang salah, juga diiktiraf dalam kamus OED.

Kamus berusia 150 tahun itu kini mempunyai koleksi 600,000 perkataan. Ia dikemas kini setiap 3 bulan, dan akan dikemas kini seterusnya pada Disember 2016.
- CNA /

No comments

Powered by Blogger.