Adblock Plus Kini Memperkenalkan Platform Pengiklanan Tersendiri


Adblock Plus merupakan salah satu pemalam yang popular pada Chrome, Firefox dan sebagainya di mana ia digunakan ramai pengguna dalam menghalang paparan iklan pada web terutamanya iklan-iklan yang menganggu pelayaran. Terkini, syarikat disebalik Adblock Plus yang digunakan lebih 100 juta pengguna berkenaan membuat kejutan, dan memperkenalkan platform pengiklanan dalam mula menjual iklan tersendiri.

Dinamakan sebagai Acceptable Ads Platform, ia masih pada peringkat beta buat masa ini. Melaluinya, mereka boleh memaparkan iklan yang tidak menganggu kepada pengguna, dan pada masa yang sama membolehkan pemilik dan penerbit di web kekal menjana wang melaluinya.

Melalui program ini, apabila pengguna dengan pemalam Adblock Plus hadir ke sesuatu web berkenaan, mereka akan dipaparkan dengan Acceptable Ads, sementara sekiranya tidak memasang pemalam berkenaan maka mereka akan diperlihatkan dengan iklan daripada pembekal sedia ada.

Seperti pelbagai program pengiklanan di web lain, pihak Adblock Plus akan menawarkan 80% pendapatan kepada pemilik web, sebaliknya baki dibahagikan kepada beberapa pihak  termasuk Adblock Plus yang menerima kira-kira 6% daripada pendapatan.

Buat masa ini, program ini dalam bentuk beta, dan bagi para penerbit yang berminat boleh membuat pendaftaran pada laman Acceptable Ads dan mengintegrasikan kod khusus untuknya dalam memaparkan ia kepada pengguna yang menggunakan pemalam Adblock Plus.

No comments

Powered by Blogger.