Olimpik: Pelumba Keirin Azizulhasni Awang, Rocket Pocket Man Berjaya Raih Pingat Gangsa
RIO DE JANEIRO – Pelumba basikal elit negara, Azizulhasni Awang akhirnya menyumbang pingat gangsa kepada Malaysia menerusi acara keirin pada Sukan Olimpik Rio di sini pada Selasa.
Dalam pusingan akhir penuh dramatik, perlumbaan lapan pusingan itu terpaksa dimulakan semula dua kali selepas pelanggaran teknikal oleh penunggang dan pada permulaan ketiga, Azizulhasni mengetepikan juara dunia dari Jerman, Joachim Eilers, untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Penunggang berusia 28 tahun yang berpusat di Melbourne itu melintasi garisan penamat untuk meraih gangsa di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Britain dan Matthijs Buchli dari Belanda.
Azizulhasni, yang sebut-sebut sebagai bakal menyumbang pingat emas kepada negara, memenangi pingat dalam temasya Olimpik dalam percubaan ketiganya selepas gagal melayakkan diri ke peringkat akhir dalam Olimpik Beijing 2008 dan menduduki tempat keenam dalam Olimpik London 2012.
“Saya menujukan khas pingat ini kepada semua rakyat Malaysia dan kepada isteri serta anak saya yang banyak berkorban selama ini,” kata penunggang yang dikenali sebagai ‘Rocket Pocket Man’ disebabkan saiz tubuhnya yang agak kecil.
“Sungguhpun matlamat saya adalah untuk mendapatkan emas namun pingat gangsa ini hasil kerja keras selama bertahun-tahun dan permulaan untuk membawa pulang emas pada Olimpik Tokyo 2020,” kata pelumba itu yang akan berlepas pulang ke tanah air malam ini.
Dalam perlumbaan sehari itu, Azizulhasni adalah seorang daripada enam pelumba dan wakil tunggal Asia yang melayakkan diri ke final daripada pusingan repechage (penyisihan).
Azizulhasni berdepan laluan agak sukar dalam permulaan kempennya untuk menaiki podium apabila beliau perlu menang dalam pusingan repechage selepas berkesudahan di tempat kelima daripada tujuh pelumba dalam saringan pusingan pertama.
Dalam aksi repechage, beliau bersaing dengan bekas juara dunia Theo Bos dari Belanda, Hugo Barrette dari Kanada dan Pavel Kelemen dari Republik Czech dalam saringan pertama dan berada di tempat teratas untuk melayakkan diri ke pusingan kedua.
Dalam pusingan kedua saringan pertama, Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Jason dan Matthijs manakala Joachim, pelumba Poland Damian Zielnski dan pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata berada dalam kelompok tiga teratas dalam saringan kedua.
Tiga pelumba terbaik dalam dua saringan layak ke final.
Azizulhasni adalah pelumba pertama Malaysia yang memenangi pingat dalam temasya Olimpik.
Pingat gangsa yang dimenanginya itu adalah pingat kedua bagi Malaysia selepas gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih perak dalam acara 10m platform seirama pada Selasa lepas. – BERNAMA
Post a Comment