Teori Baru Mencadangkan Dinosaur Mungkin Berkicau Seperti Burung Bukannya Mengaum
Pemahaman manusia mengenai dinosaur masih lagi baru. Ini adalah kerana bidang sains paleontologi moden hanya bermula pada penghujung kurun ke-19. Banyak pengetahuan awal mengenai dinosaur kini didapati salah. Sebagai contoh dinosaur Tyrannosaurus Rex sebenarnya berbulu dan begitu juga dengan Velociraptor.
Spinasour yang menjadi haiwan penjahat Jurassic Park 3 dipercayai hanya menyerang haiwan akuatik dan bukannya pemburu Alpha yang mampu membunuh T-Rex. Sebuah teori baru kini mengenai “suara” dinosaur akan menyebabkan Jurassic Park menjadi filem yang dipenuhi lebih banyak kesalahan fakta sains.
Menurut teori terkini oleh penyelidik dari University of Texas Austin, Midwestern University Glendale, Memorial University of Newfoundland dan University of Utah, dinosaur berkicau seperti burung bukannya mengaum seperti singa. Dengan melihat evolusi 208 spesis burung dan dinosaur, mereka mendapati kemungkinan dinosaur berkicau dengan mulut tertutup (closed mouth vocalisation) adalah lebih munasabah dari mengaum. Adalah dipercayai burung yang wujud sekarang berevolusi dari dinosaur. Memandangkan tiada burung yang mengaum seperti singa sekarang menguatkan lagi teori mereka.
Oleh itu dinosaur seperti T-Rex akan berhubung sesama sendiri seperti burung tekukur. Beg udara pada bahagian tengkuk seperti pada burung tekukur akan menolak udara menerusi rongga hidung bagi menghasilkan bunyi. Hasil kajian mengenai teori ini akan diterbitkan di dalam jurnal Evolution bulan hadapan.
Sekiranya teori diterima pengamal sains seluruh dunia, Jurassic Park 5 kelak mungkin terpaksa mengubah bunyi yang dihasilkan T-Rex bagi mengikut fakta sains yang lebih tepat.
SUMBER RUJUKAN: UNIVERSITY OF TEXAS AUSTIN
Post a Comment